DSKP

PENGENALAN KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Khas
(Masalah Pembelajaran) dibina selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang berlandaskan prinsip-prinsip
pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara
menyeluruh, peluang pendidikan dan kualiti pendidikan yang
sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup. KSSR
Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) Pendidikan Islam
bersifat holistik, selaras dengan yang dihasratkan dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Bagi memenuhi keperluan individu, pengajaran dan pembelajaran
di Program Pendidikan Khas Integrasi Masalah Pembelajaran
dibentuk secara fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan
Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013 , 8.(1)(c) yang menyatakan;

....seseorang guru boleh membuat pengubahsuaian
kepada:
i. kaedah atau teknik pengajaran dan pembelajaran
ii. masa yang diperuntukkan bagi setiap aktiviti
iii susunan aktiviti; dan
iv bahan bantu mengajar
...... apa-apa pengubahsuaian yang dibuat di bawah perenggan
(1)(c) hendaklah mengikut Kurikulum Pendidikan Khas.

KSSR Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dibina supaya
pembelajaran yang diperolehi di bilik darjah dapat diaplikasikan
dalam kehidupan seharian. Kurikulum ini juga menyediakan
pendidikan berkualiti untuk murid bermasalah pembelajaran
supaya mereka menjadi insan yang seimbang, berdikari dan
berupaya menjalani kehidupan dengan lebih bermakna.




OBJEKTIF KSSR



KSSR Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) Pendidikan
Islam Tahun Satu membolehkan MBK mencapai objektif berikut:

1. Membaca huruf hijaiyyah dengan makhraj yang betul;

2. Menghafaz surah-surah terpilih dari juzuk Amma untuk
bacaan dalam solat dan ibadat harian;

3. Menyakini asas-asas keimanan sebagai pegangan akidah
dan benteng keagamaan;

4. Mengamalkan ibadah-ibadah asas kefardhuan sebagai
kewajipan umat Islam;

5. Mengambil iktibar daripada sirah Rasulullah SAW bagi
menanam rasa kecintaan kepada baginda; dan

6. Mengamalkan adab makan dan menuntut ilmu dalam

kehidupan seharian.



MATLAMAT KSSR


Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Khas
(Masalah Pembelajaran) bagi Pendidikan Islam bermatlamat
untuk memastikan potensi murid dapat dikembangkan secara
menyeluruh, seimbang dan bersepadu, sesuai dengan tahap
keperluan murid pendidikan khas. Perkembangan ini meliputi
aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi melahirkan insan
yang seimbang, harmonis, mampu berdikari serta bersosialisasi

dalam masyarakat dan berakhlak mulia.

Comments